01/02/2017

PENDEKATAN VS KAEDAH VS TEKNIK & APLIKASI DALAM BILIK DARJAH

1.0    PENGENALAN.


Dalam pendidikan abad ke 21, pedagogi dan penilaian perlu dikuasai oleh pendidik agar proses pengajaran dan pembelajaran menjadi mudah dan berkesan. Perubahan-perubahan kurikulum, dasar pendidikan, dan kehendak pasaran menuntut pendidik meningkatkan kemahiran mereka agar amalan pengajaran dan pembelajaran mencapai tahap pendidikan berkelas dunia.

Dalam projek kali ini, guru akan menerangkan definisi dan konsep pedagogi dan penilaian secara terperinci. Projek ini juga akan menerangkan bagaimana untuk guru boleh mengaplikasikan pendekatan, kaedah, dan teknik di dalam bilik darjah dalam satu tempoh masa proses pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan.

Selain itu, beberapa jenis penilaian yang sering digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran seperti  juga akan dijelaskan dan dipilih untuk digunakan dalam menjawab soalan tugasan.

Diharapkan agar guru-guru yang telah menguasai kemahiran pedagogi dan penilaian dapat melahirkan murid-murid yang berkemahiran kritis dan menguasai kemahiran literasi, yakin berkomunikasi, berintegriti, berkeperibadian tinggi, berinisiatif, mempunyai haluan diri, kreatif dan berinovasi.

2.0 PEDAGOGI PENGAJARAN.


            Kamus Dewan Edisi Keempat menerangkan pedagogi bermaksud kajian tentang kaedah dan prinsip pengajaran. Menurut Alexander (2008), pedagogi pula bermaksud tindakan pengajaran yang disertakan dengan idea-idea, nilai dan kepercayaan yang bertindak untuk menyampaikan maklumat.

Dennett & Wang (2014) mengatakan bahawa pedagogi merujuk kepada seni dan sains dalam mengajar kanak-kanak. Perkataan ‘mengajar’ ditekankan kerana guru merupakan pusat penyebaran ilmu pengetahuan. Dalam erti kata lain, guru bertanggungjawab terhadap pembelajaran kanak-kanak.
           
            Menurut Halupa (2015), terdapat pelbagai teori pendidikan yang telah wujudkan perkataan ‘pedagogi’ pada hari ini. Pedagogi merangkumi teori kognitif, konstruktif, dan juga behavioris.

Merujuk kepada istilah-istilah di atas, dapatlah dirumuskan bahawa pedagogi pengajaran merupakan kemahiran guru untuk menggunakan pelbagai pendekatan, keadah, dan teknik yang boleh digunakan untuk membantu guru menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan. Guru yang berjaya melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan adalah guru yang menguasai kemahiran pedagogi.

            Tajuk seterusnya akan akan diterangkan secara terperinci berkaitan pendekatan, keadah, dan teknik-teknik pengajaran.

3.0 PENDEKATAN PENGAJARAN.


            Zamri, Rahimi, & Juliawati (2009) mengatakan bahawa guru perlu memainkan peranan untuk membimbing dan memberi motivasi kepada murid-murid untuk menarik minat murid belajar tentang perkara atau benda yang baru. Pendekatan yang dipilih haruslah sesuai dengan keperluan murid.

Pendekatan pengajaran bermaksud set teori pengajaran yang berunsur beraksiomatik (kenyataan yang dianggap benar tanpa memerlukan sebarang bukti atau alasan) dan diamalkan dalam aktiviti pengajaran sesuatu mata pelajaran berdasarkan kepada objektifnya. Pendekatan aksiomatik  (Siti Safrinah & Noorzainah, 2008).

Menurut Ahmad (2011), mendekatkan sesuatu dalam bidang pendidikan dinamakan pendekatan. Setiap pendekatan hendaklah mencerminkan satu pandangan atau pendapat tentang hakikat satu matlamat pelajaran. Ia bertujuan untuk memudahkan murid menerima dan memahami isi pelajaran yang disampaikan oleh guru. Dengan adanya pendekatan guru dapat membuat tanggapan asas yang akan dijadikan prinsip amalan bilik darjah.

 Ciri-ciri pendekatan seperti yang dicadangkan Siti Safrinah & Noorzainah (2008) dalam Edward M.Anthony (1963) adalah seperti berikut:-

·         Daripada konkrit ke abstrak.
·         Daripada mudah kepada kompleks.
·         Daripada keseluruhan kepada bahagian.
·         Daripada umum kepada spesifik (deduktif)
·         Daripada spesifik kepada umum (induktif)
·         Daripada diketahui kepada belum diketahui.

Terdapat pelbagai pendekatan yang digunakan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran antaranya pendekatan bertema, pendekatan induktif, pendekatan deduktif, pendekatan eklektif,  pendekatan kontekstual, pendekatan masteri, pendekatan pembelajaran abad ke-21, pendekatan kontruktif, pendekatan projek,  belajar melalui bermain, dan pendekatan teknologi maklumat.

Rumusan yang boleh dibuat ialah pendekatan merupakan sesuatu yang agak umum dan ia seolah-olahnya menunjukkan sesuatu haluan tetapi tidak menerangkan bagaimana caranya untuk menuju haluan itu. Cara-cara yang digunakan untuk menuju arah yang ditetapkan oleh sesuatu pendekatan pengajaran adalah kaedah-kaedah pengajaran.

4.0 KAEDAH PENGAJARAN.


            Setelah mengetahui maksud pendekatan, seterusnya guru akan menerangkan maksud kaedah. Seperti yang dinyatakan di atas, kaedah adalah cara-cara yang digunakan untuk memenuhi objektif pendekatan yang digunakan. Menurut kamus dewan edisi keempat, kaedah adalah cara atau aturan melakukan sesuatu. Jika dikaitkan dengan kaedah pengajaran, menurut Siti Safrinah & Noorzainah (2008), kaedah pengajaran bermaksud segala kegiatan terarah yang dijalankan oleh guru dalam rangka menyampaikan pengajaran yang berkesan. Terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan guru di dalam bilik darjah. Antaranya:-

4.1 Kaedah kumpulan.

Kaedah kumpulan dapat dilakukan dengan pelbagai cara. Antaranya ialah perbincangan kumpulan, main peranan, konferen, sumbangsaran, kuliah perbincangan, wawancara, kerja jawatankuasa dan sesi buzz.

4.2 Kaedah Tradisional.

Kaedah tradisional meliputi tugasan seperti bacaan kuat, kuliah, laporan secara lisan oleh murid, mengkaji semula, membaca buku teks, tumpuan kepada perbendaharaan.

4.3 Kaedah  Inkuiri.

Kaedah inkuiri biasanya digunakan oleh guru untuk tugasan penyelesaian masalah. Kaedah inkuiri mempunyai 5 prosedur. Prosedur-prosedurnya adalah seperti berikut:-

i)        Kenal pasti masalah.
ii)      Rancang penyelesaian.
iii)    Kumpul maklumat.
iv)    Buat tafsiran.
v)      Buat kesimpulan

4.2 Kaedah Koperatif.

Kaedah koperatif dijalankan dimana ahli akan berinteraksi diantara satu sama lain untuk mewujudkan persefahaman dan kemajuan. Kanak-kanak bekerja sebagai satu kumpulan untuk menyelesaikan satu masalah. Kanak-kanak belajar secara aktif dan bukan hanya bergantung kepada guru. Kanak-kanak berusaha untuk menyumbangkan idea dan pendapat untuk menyelesaikan masalah atau tugasan yang diberikan. Kanak-kanak harus menguasai dan mengamalkan kemahiran sosial seperti ikut giliran, memberi galakan, mendengar, memberi pertolongan, memberi penjelasan untuk membolehkan kumpulan berfungsi dengan efektif.

4.3 Kaedah penyelesaian masalah.

Kaedah penyelesaian boleh dilakukan dengan aktiviti seperti penyelidikan atau penjelajahan, tinjauan, dan lawatan.

4.4 Kaedah Kolaboratif.

Kaedah kolaboratif adalah satu kaedah di mana sekumpulan murid bermuafakat serta berganding bahu untuk melakukan aktiviti pembelajaran dengan bimbingan sebaya demi untuk menuju ke arah satu matlamat.  Ahli kumpulan berbincang, merancang dan membuat persediaan untuk menyelesaikan masalah tugasan yang diberikan oleh guru.  Pembelajaran kolaboratif memerlukan semangat setiakawan, saling percaya, mempercayai dan mampu menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi. Prinsip pembelajaran ini ialah kesebayaan, eksperimen, berinteraksi dan kepimpinan.

4.5 Kaedah Individu.

Kaedah individu merupakan kaedah pembelajaran antara satu dengan satu contohnya antara guru dengan kanak-kanak, kanak-kanak dengan kanak-kanak. Kaedah ini bertujuan menyampaikan maklumat dengan lebih jelas dan membimbing kanak-kanak yang memerlukan bantuan.

5.0 TEKNIK PENGAJARAN.


Setelah mengenal pasti pendekatan dan kaedah pengajaran, seterusnya kita beralih pula kepada teknik pengajaran. Teknik pengajaran pula adalah kemahiran guru dalam pengelolaan dan pelaksanaan kaedah mengajar bagi sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Terdapat pelbagai teknik yang boleh diamalkan oleh seorang guru dalam sesi P&P. Antaranya ialah:

Teknik Simulasi.

Simulasi merupakan satu situasi yang diwujudkan untuk menyerupai keadaan sebenar dengan cara menggunakan masalah atau kejadian atau peristiwa yang benar wujud dalam kehidupan seharian untuk diselesaikan di dalam keadaan terkawal dan selamat. 

Teknik Main Peranan.

Satu teknik pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan lakonan spontan tanpa skrip mengenai sesuatu situasi atau masalah oleh sekumpulan kanak-kanak yang dipilih. Melalui aktiviti ini kanak-kanak boleh mendapat gambaran dan pengalaman yang baru. 


Teknik Latih Tubi.

Merupakan sejenis aktiviti yang memerlukan murid melakukan sesuatu aktiviti secara berulang-ulang sehingga mereka menguasai sesuatu kemahiran atau konsep baru dengan lancar. Aktiviti ini boleh dilakukan secara lisan, amali dan bertulis. Latihan seperti ini boleh memperkukuhkan fakta, konsep dan kemahiran pendidikan jasmani yang dipelajari.

Teknik Demonstrasi dan Tunjuk Cara.

Teknik pengajaran yang memusatkan guru atau aktiviti di mana seseorang menunjukkan cara melakukan atau menghasilkan sesuatu di hadapan murid dalam sesi pengajaran.  Murid lain memerhati dan mengenal pasti prosedur dan cara untuk melakukan sesuatu aktiviti tersebut.  Contoh guru boleh mendemonstrasikan cara menggunting dengan menggunakan teknik yang betul. Selepas murid memerhatikan guru, murid pula melakukan tunjuk cara menggunting sambil diperhatikan guru.

Teknik Sumbangsaran.

Sumbangsaran adalah satu teknikuntuk mendapatkan alternatif penyelesaian masalah.  Ia juga dikenali sebagai percambahan fikiran di mana semua orang dalam kumpulan dapat menyumbangkan fikiran dan pendapat terhadap sesuatu topik yang dibincangkan.

Teknik Perbincangan.
Teknik perbincangan berbentuk perbualan dan dilakukan dalam kalangan kanak-kanak di bawah penyeliaan dan kawalan guru. Guru harus bertindak sebagai fasilitator supaya  aktiviti perbincangan yang dijalankan menggalakan kanak-kanak untuk berfikir secara kreatif dan aktif bagi menghuraikan pendapatnya (Brown, Callaha, Harder, Orlich, Trevisan, 2007). Menurut Ormrod (2008) berpandangan bahawa perbincangan merupakan teknik yang boleh meningkatkan kemahiran pemikiran dan pertuturan pelajar serta dapat merangsang pemikiran analitik.

Teknik Soal Jawab.

Seterusnya teknik soal jawab yang merupakan teknik yang kerap digunakan oleh guru. Ia mewujudkan interaksi antara guru dengan kanak-kanak. Teknik ini dilaksanakan dengan cara guru bertanyakan soalan dan pelajar akan menjawab soalan tersebut. Setiap soalan yang ditanya mempunyai aras kesukaran yang tertentu.

Teknik Bercerita.

Teknik bercerita pula membawa maksud guru memilih cerita yang sesuai dengan kanak-kanak dan isi pengajaran yang hendak disampaikan. Guru bercerita dalam keadaan yang selesa dan berikan penekanan kepada aspek-aspek bahasa yang hendak diajarkan.

Teknik Penyelesaian.
Seterusnya adalah teknik penyelesaian masalah di mana teknik ini dilaksanakan di bawah penyeliaan guru. Pelajar-pelajar diberi masalah dan cuba menyelesaikan masalah tersebut.

6.0 RUMUSAN PENDEKATAN, KAEDAH, DAN TEKNIK.


Hasil daripada dapatan berkaitan pendekatan, kaedah, dan teknik, dapatlah dirumuskan bahawa pendekatan, kaedah, dan teknik merupakan kemahiran yang berhubung kait antara satu sama lain yang terkandung di dalam kemahiran pedagogi. Rujuk gambarajah dibawah:-

Hubung kait antara pendekatan, kaedah, dan teknik.
Rajah 1: Rangkuman kemahiran pedagogi.

            Merujuk kepada Rajah 1 di atas jelas menunjukkan bahawa pendekatan merupakan kemahiran paling utama, diikuti kaedah dan teknik. Hal ini disebabkan oleh pendekatan merupakan sesuatu yang agak umum atau skop yang luas. Kaedah diperlukan untuk memastikan pendekatan yang dipilih itu berjaya mencapai objektifnya. Teknik pula membantu guru melaksanakan kaedah yang dipilih dengan mudah dan berkesan.

Seorang guru yang ingin merancang pengajaran dan pembelajaran harus memilih pendekatan yang ingin digunakan terlebih dahulu, barulah kaedah, dan teknik. Contohnya, guru ingin menggunakan pendekatan bertema, kaedah yang ingin digunakan adalah kaedah kumpulan. Teknik yang digunakan bagi memastikan kaedah kumpulan berjaya dilaksanakan seperti teknik bercerita dan teknik soal jawab.

 Seorang guru dikira gagal jika merancang proses pengajaran dan pembelajaran dengan mengambil kira teknik sahaja tanpa kaedah atau pendekatan kerana pendekatan, kaedah, dan teknik berhubung kait antara satu sama lain dan tidak boleh dipisahkan.
             

7.0 PENILAIAN & PENTAKSIRAN

           
            Setelah pengajaran dan pembelajaran dijalankan, penilaian perlu dilakukan bagi menilai adakah pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan memberi kesan kepada murid. Menurut Naim (2009), penilaian dilakukan bertujuan memberi maklumat tentang keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dan murid dapat mengetahui keupayaannya dan merancang aktiviti susulan.

Untuk pendidikan  prasekolah, penilaian tidak dijalankan dengan ujian atau peperiksaan formal seperti ujian kertas dan pensel tetapi dijalankan pentaksiran. Pentaksiran Prasekolah bermaksud satu proses yang sistematik untuk memperoleh maklumat perkembangan murid bagi membantu guru membuat penilaian (Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2013).

Pentaksiran prasekolah dipilih berbanding ujian kerana pentaksiran dijalankan dalam suasana semulajadi, tidak formal, secara berterusan dan bersifat diagnostik. Jadi, data yang diperoleh lebih tepat dan jitu.

Pentaksiran yang dijalankan kelas prasekolah  adalah bersifat autentik, iaitu semasa kanak-kanak mengalami proses pembelajaran supaya hasil yang dikehendaki adalah bersifat autentik dan tidak boleh dipertikai. Selain itu, pentaksiran melalui pemerhatian dan dokumentasi dapat membuktikan pentaksiran yang dijalankan adalah sahih serta tepat (Surayah & Haslinda, 2009).

7.1 Objektif Penilaian.


Menurut Naim (2009), objektif penilaian terbahagi kepada dua bahagian iaitu:-

Objektif penilaian kepada murid, murid dapat:-
·         Mengetahui pencapaian objektif pembelajaran.
·         Mengukur kemajuan peribadi.
·         Mengenal pasti keupayaan.
·         Merangsang pencapaian yang lebih tinggi.
·          
Objektif penilaian kepada guru pula, guru dapat:-
·         Mengetahui pencapaian objektif pembelajaran.
·         Menganjurkan program pemulihan, pengukuhan dan pengayaan.
·         Mengetahui keberkesanan pengajaran bagi membuat penyesuaian.
·         Memantau kemajuan kanak-kanak bagi tujuan laporan dan tindakan susulan.

7.2 Proses Pentaksiran.

Rajah 2: Pelaksanaan Pentaksiran di Prasekolah. (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2010).
Merujuk kepada rajah di atas, guru perlu melalui beberapa langkah untuk melakukan pentaksiran. Langkah-langkahnya adalah seperti berikut:-

i)                    Merancang.
ii)                  Membina instrumen.
iii)                Melaksanakan pentaksiran.
iv)                Merekod.
v)                  Menyimpan, menganalisis maklumat, dan melapor.

7.3 Kaedah Pentaksiran.


Setelah menentukan konstruk yang ingin ditaksir dan menggunakan instrumen yang dibekalkan oleh pihak kementerian, guru akan melakukan pentaksiran. Seperti yang dimaklumkan di atas, pentaksiran di prasekolah tidak dilakukan menggunakan ujian atau peperiksaan formal seperti ujian kertas dan pensel tetapi menjalankan pentaksiran.

Seperti yang dicadangkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (2010), pentaksiran hanya dijalankan melalui PEMERHATIAN sahaja. Hasil pemerhatian tadi kemudian direkodkan untuk tujuan pelaporan.

Pentaksiran boleh dijalankan dengan melibatkan orang lain seperti rakan sebaya, Pembantu Pengurusan Murid, ahli keluarga dan komuniti di mana bersesuaian. Untuk mentaksir, guru akan melakukan pemerhatian terhadap hasil kerja murid, projek, tingkah laku murid, lisan dan lain-lain.

Setelah menjalankan pemerhatian, guru akan merekodkan data yang diperoleh. Guru akan merekodkan data yang diperoleh melalui senarai semak, skala kadar, rekod anekdot, dan rekod berterusan.

Selesai proses merekod, barulah guru akan menganalisis maklumat untuk dilakukan tindakan susulan sama ada kanak-kanak memerlukan bimbingan, aktiviti penggayaan atau aktiviti pengukuhan.


7.4 Kaedah Merekod.


Yang berikut merupakan contoh-contoh perekodan yang dicadangkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (2010).

i)                    Senarai Semak
Nama murid : Fatin bt. Abdul
Nama Guru :   Fuziah Ano bt.  Muhamad
 



                     
KANDUNGAN
PEMERHATIAN
ULASAN
I
II
III
1.
Kemahiran Mendengar
1.1
Mendengar dengan penuh perhatian
_/ 5/1
1.2
Mendengar dan mengecam bunyi perkataan yang berbeza
_/ 1/3
1.3
Mendengar dan mengecam kesamaan bunyi perkataan
_/ 1/2
2.
Kemahiran Bertutur
2.1
Berinteraksi dan mengecam
bunyi perkataan yang berbeza
_/-1/2
_/-3/9
Boleh bertutur dengan baik tetapi pemilihan kata kurang sesuai dengan penggunaan intonasi yang keras
2.2
Merangsang pertuturan melalui soaljawab
_/-3/4
_/
2.3
Melafazkan puisi dengan intonasi yang betul
_/
2.4
Melakonkan watak-watak mengikut situasi
_/
_/

Rajah 3: Contoh Senarai semak.







ii)                 
Komponen: Perkembangan Kognitif    -    TAJUK : MAIN BONGKAH
Kandungan:  Pengelasan, seriasi,padanan satu sama satu dan konsep ruang
Hasil Pembelajaran :   Mengelas objek
                                     Menyusun objek mengikut seriasi
                                     Mengetahui kedudukan objek
                                     Memadan objek
Skala Kadar





Bil
Nama
Murid
Item
Petunjuk Item
1
2
3
4
5
KUMPULAN A
1.    Mengelas mengikut saiz, warna dan  bentuk
2.    Menyusun mengikut saiz
3.    Menyatakan kedudukan objek
4.    Kreativiti dalam menghasilkan objek
5.    Kerjasama dalam kumpulan
1.
Marina
2.
Hasnah
3.
Raihana
4.
Kasmin
5.
Fatin
B
C
C
C
B
Rajah 4: Contoh Skala Kadar Mengikut Kumpulan.

iii)                Rekod Anekdot
Nama Murid:  Fatin Nadia bt. Abdul            Umur:      6 Tahun
Tarikh:            20 Februari 2010                     Masa:      10.00 pagi
Nama Guru:   Puan Puziah Ano                     Item:       Kebolehan membaca 
Catatan
Ulasan
        Selepas mengikuti sesi bacaan bersama guru kelas, Fatin menarik tangan Ani,Munah dan Siti ke Pusat Bahasa untuk mencari buku. Fatin memilih buku bergambar sama dengan buku yang dibaca oleh gurunya .Fatin ajak kawan-kawanya dengar cerita yang dia baca. Fatin pun  membuka buku lalu membaca dengan gaya seperti Cikgu Rusnani.   Ani, Munah dan Siti mendengar dengan penuh minat.  Fatin tanya kawannya sedap tak cerita yang dibaca.  “Hei, Fatin kau dah boleh baca?”  Tanya Siti. Cikgu Rusnani memuji sambil bertepuk tangan.  Fatin senyum.
Fatin anak sulung dalam keluarga
sangat rapat dengan Ani, Munah dan
Siti.
Mereka ini sentiasa patuh dan hormat
pada Fatin. Fatin sudah mula berminat 
dengan buku, cuba membaca
walaupun masih belum  mengenal
semua huruf. 

Rajah 5: Contoh Rekod Anekdot.
iv)               
Nama :          Ainon Bakar
Umur :          6 tahun
Tarikh :         26 September 2015
Masa :           10.00  -  10.10 pagi
Guru :            Puan Sofia
Item     :        Kepimpinan
Rekod Berterusan





Pemerhatian
Ulasan
Ainon sedang bermain pasir dengan beberapa orang rakannya. 
Dia bangun dan mengatakan “Penatlah main pasir, jom main jongkang jongkit. 
Ainon memanggil rakan-rakannya.  Beberapa orang murid berebut-rebut menaiki  jongkang jongkit itu.
Ada ciri kepimpinan
Ainon  :   Jangan berebut.
Liza     :   Saya pun nak naik.
Ainon  :   Gilir-gilirlah. OK., Minah, Rozi 
                duduk  hujung sana. Noni, Milah  
                hujung  sini,ya!
Milah  :   Saya tak boleh dengan Noni, sebab     
                dua-dua kurus, ... ringan, nanti tak 
                sama.
Ainon  :   .....aaa la, nanti tak sama.
Rozi     :   Tak mau, saya nak duduk  dengan
                Minah juga.
Ainon  :   Ok, Som pun kurus,  duduk depan Noni. 
                Hah, baru sama berat.  


Menunjukkan sifat toleransi
dan kerjasama

Memahami konsep (berat/ringan)




Memahami konsep keseimbangan

Rajah 6: Contoh Rekod Berterusan.









8.0 APLIKASI KEMAHIRAN PEDAGOGI & PENILAIAN DALAM BILIK DARJAH.


Setelah memahami kemahiran pedagogi dan penilaian dalam bilik darjah, kali ini akan diterangkan pula bagaimana untuk mengaplikasikan kemahiran tersebut dalam satu proses pengajaran dan pembelajaran.

Dalam tajuk ini akan diterangkan berkaitan objektif pengajaran dan pembelajaran slot selama sejam, set induksi, langkah-langkah, penutup, dan penilaian yang akan digunakan untuk menilai keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

8.1 Objektif Pengajaran & Pembelajaran.


Pada akhir pembelajaran, murid dapat:-
a)      Menyatakan makanan makanan berkhasiat dan tidak berkhasiat.
b)      Menggunting gambar makanan berkhasiat dan tidak berkhasiat. Kemudian menampalkan pada ruang piramid makanan dengan betul.
c)      Menyanyikan lagu ‘makanan sihat’ dengan gerakan yang betul.

8.2 Pemilihan Pendekatan.


Berdasarkan kepada tajuk yang diplih guru, guru ingin menggunakan pendekatan belajar melalui bermain sepanjang aktiviti dijalankan. Hal ini disebabkan oleh  bermain merupakan fitrah seorang kanak-kanak. Mereka akan belajar secara tidak langsung sambil mereka bermain. Menurut Azlina, Kee Jiar, Zakiah (2013), kanak-kanak yag mengikuti pengajaran dan pembelajaran menggunakan pendekatan belajar melalui bermain lebih faham berbanding pengajaran biasa.

8.3 Pelaksanaan Kaedah dan Teknik.


            Untuk set induksi, guru akan menggunakan kaedah koperatif. Guru akan menyembunyikan kad gambar-gambar makanan yang sihat seperti roti, sayuran, buah-buahan dan makanan tidak sihat seperti sosej, nugget, bebola ikan, makanan ringan. Kemudian, guru akan minta murid mencari kad-kad gambar tersebut di dalam bilik darjah. Aktiviti ini memerlukan pengawalan kelas yang baik agar pencarian kad-kad tersebut dalam keadaan terkawal. Guru perlu menetapkan had kawasan yang boleh masuki oleh murid atau tidak. Apabila semua kad-kad berjaya dikumpulkan, guru menggunakan teknik peneguhan seperti ucapan ‘tahniah’atau ‘bagus’ kerana berjaya menyelesaikan tugasan yang diberikan.

            Untuk meneruskan aktiviti pembelajaran, guru menggunakan teknik jawab berdasarkan kad gambar yang berjaya dikumpulkan oleh kanan-kanak. Untuk mengakplikasikan teknik soal jawab dengan berkesan, guru menggunakan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). KBAT dapat merangsang pemikiran berstruktur dan berfokus dalam kalangan kanak-kanak.

            Setelah teknik soal jawab selesai pula, langkah seterusnya guru menggunakan teknik bercerita untuk menyampaikan maklumat kepada murid tentang makanan sihat dan tidak sihat. Sambil bercerita guru akan menunjukkan gambar-gambar kesan atau akibat kerap makan makanan tidak sihat dengan menggunakan komputer.

            Langkah seterusnya adalah aktiviti menggunting. Murid akan melaksanakan aktiviti ini menggunakan kaedah kumpulan. Mereka akan menggunting keratan gambar daripada surat khabar, majalah-majalah, atau kertas pengiklanan. Mereka akan lakukan secara berkumpulan. Rakan-rakan mereka akan membantu untuk memilih gambar yang betul untuk digunting dan ditampalkan pada ruang yang disediakan dengan betul.

            Sebelum itu, guru akan menggunakan teknik demonstrasi dan tunjuk cara tentang menggunting dengan cara yang betul. Guru akan menunjukkan cara memegang gunting sambil diperhatikan murid. Selepas itu, guru akan menggunting sambil menerangkan cara memegang kertas yang digunting. Setelah itu, kanak-kanak akan menunjukkan cara menggunting setelah mereka memerhatikan guru melakukan demonstrasi. Langkah sama diulang bagi aktiviti menampal pula.

            Aktiviti pengajaran seterusnya adalah kuiz. Aktiviti ini dijalankan menggunakan kaedah koperatif. Setiap ahli kumpulan perlu menjawab soalan yang diberikan. Mereka perlu membantu rakan mereka sekiranya tidak dapat menjawab jawapan yang betul. Guru akan memberikan soalan kepada setiap kumpulan berkaitan kebaikan dan akibat tentang pemakanan yang sihat atau tidak sihat.
            Aktiviti menyanyi adalah aktiviti terakhir sebelum penutup. Guru akan menggunakan kaedah secara tradsional iaitu membaca lirik yang ditayangkan. Seorang murid dipilih untuk membaca lirik dan diikuti oleh rakan-rakan. Teknik latih tubi diperlukan untuk murid menghafal lirik lagu.

            Apabila murid sudah menghafal lirik lagu, aktiviti nyanyian juga dijalankan menggunakan pendekatan belajar melalui bermain. Pada pusingan pertama, murid akan menyanyikan lagu mengikut kumpulan berdasarkan baris lagu yang ditetapkan. Contoh kumpulan A menyanyikan baris pertama manakala kumpulan B menyanyikan baris kedua. Kemudian, setiap kumpulan bertukar-tukar lirik dan akhirnya menyanyi bersama-sama. Untuk menyanyi dengan gerakan, guru akan menggunakan teknik demonstrasi untuk menyanyi mengikut gerakan sambil diikuti oleh kanak-kanak.

            Aktiviti penutup pula, murid secara berkumpulan menayangkan hasil kerja dan menerangkan kepada rakan-rakan yang lain hasil yang telah disiapkan oleh kumpulan mereka. Hasil kerja murid tadi digantung pada ruang hasil kerja murid selama seminggu.

8.4 Penilaian aktiviti.


            Semasa murid menjalankan aktiviti, guru memerhatikan kanak-kanak pada tingkah laku mereka, lisan, dan hasil hasil kerja mereka. Kemudian, hasil pemerhatian tadi direkodkan.

            Semasa aktiviti set induksi, guru boleh memerhatikan aspek sosial dan emosi kanak-kanak apabila mereka bersama-sama mencari kad gambar makanan. Aspek yang boleh diperhatikan adalah tunjang kerohanian & moral dan tunjang ketrampilan diri. Adakah mereka boleh bekerjasama atau tidak dan sebagainya.

            Semasa aktiviti soal jawab, guru juga akan mentaksir tunjang komunikasi. Guru akan memerhatikan adakah kanak-kanak respons tentang soalan yang diberikan. Adakah mereka dapat menjawab soalan atau bertanya dengan sopan. Adakah mereka dapat mengeja perkataan yang ditunjukkan.

            Seterusnya apabila aktiviti menggunting dilakukan, guru memerhatikan tunjang fizikal dan estetika. Adakah murid dapat menggunting dengan betul. Adakah kemahiran motor halus murid sudah mencapai perkembangan yang sepatutnya. Di samping itu, guru juga dapat memerhatikan kerjasama antara kumpulan sama ada mereka membantu sama lain, menjaga kebersihan, dan mengemaskan peralatan yang digunakan atau pun tidak.

            Semasa aktiviti kuiz pula, guru boleh mentaksir tunjang komunikasi dan ketampilan diri. Adakah mereka faham soalan yang diberikan. Adakah mereka membantu ahli kumpulan mereka. Bolehkah mereka mengawal diri sekiranya tidak mendapat markah apabila jawapan yang diberikan salah atau sebaliknya.

           Aktivti menyanyi pula, guru dapat mentaksir perkembangan mereka bahagian tunjang fizikal dan estetika. Adakah mereka boleh menyanyi dengan sebutan yang betul. Adakah mereka dapat menyanyi dengan gerakan. Dalam aktiviti ini juga, pentaksiran tunjang komunikasi juga dilakukan semasa mereka membacakan lirik-lirik yang diberikan.

            Akhir sekali semasa aktiviti penutup, pentaksiran yang dilakukan adalah melihat sikap keberanian mereka untuk melakukan aktiviti. Apabila aktiviti penutup, mereka akan membentangkan hasil kerja yang telah disiapkan mengikut kumpulan. Selain itu, hasil kerja yang telah dihasilkan oleh mereka boleh ditaksir oleh guru.

            Hasil pemerhatian yang telah dijalankan bermula dari set induksi hinggalah penutup akan direkodkan oleh guru menggunakan skala kadar dan rekod berterusan. Guru juga perlu menyediakan rekod anekdot bagi kes-kes tertentu seperti tidak boleh menggunting lagi, tidak boleh bertutur dengan intonasi yang betul dan lain-lain.

            Hasil dapatan yang diperoleh nanti, guru akan menilai sejauh mana pedagogi yang digunakan berkesan atau tidak. Perubahan dan peningkatan harus dilakukan jika hasil dapatan tidak mencapai objektif pengajaran.







9.0 KESIMPULAN.


            Terdapat pelbagai kemahiran pegadogi iaitu pendekatan, kaedah dan teknik. Sebelum merancang aktiviti pengajaran, guru harus memilih pendekatan yang bersesuai dengan aktviti yang ingin dirancang. Selepas menentukan kaedah, barulah merancang teknik yang ingin digunakan.

Kemahiran pedagogi merupakan kemahiran yang penting sebagai seorang guru. Apabila berlaku perubahan genarasi, kehendak masyarakat, dan pasaran antarabangsa, seorang guru harus mempelajari kemahiran pedagogi yang baharu mengikut peredaran zaman. Setiap kali kurikulum berubah, pasti akan wujud pendekatan-pendekatan, kaedah, dan teknik-teknik baharu yang perlu diaplikasikan kepada kanak-kanak. Jadi, guru perlu peka dan cepat menguasai kemahiran pedagogi untuk diaplikasikan kepada kanak-kanak.


Penilaian dan pentaksiran penting dijalankan dan harus menjadi tanggungjawab kepada guru melaksanakan mengikut cara yang betul. Data yang diperoleh menjadi ralat apabila pentaksiran yang dilakukan hanya sekadar syarat. Hasilnya apabila aktiviti penggayaan, pengukuhan atau tindakan susulan yang diberikan ke atas kanak-kanak tidak akan berjaya kerana data pentaksiran yang diterima adalah tidak benar. Adalah menjadi tanggungjawab seorang guru memastikan bahawa data pentaskiran yang dicatatkan adalah sahih dan tidak boleh dicabar. 

*SUMBER RUJUKAN SAYA SIMPAN..

No comments:

Post a Comment